Al- Imam Asy
Syahid Hasan Al-Banna berkata :
“Yang saya
maksudkan dengan ikhlas ialah setiap akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan
Allah dan ganjaran pahala dari-Nya. Semua perkataan, amalan dan jihad tidak memandang
kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau
mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang
mengejar sesuatu atau kepentingan.”
Firman Allah swt
di dalam surah Al-An’am 162-163 yang bermaksud :
“Katakanlah
olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah
Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah
aku diperintahkan.”
Dengan itu akh
muslim dapat memahami slogan yang sering dilaungkan :
“Allah matlamat
kami, Allah maha besar, bagi Allah segala pujian.”
Keterangan
Ikhlas ialah
melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah swt, tanpa dicampuri
dengan tujuan dunia. Amalannya tidak dicampuri dengan keinginan dunia, keuntungan,
pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan tinggi di kalangan manusia, meminta
pujian, lari dari kejian, mengikut hawa nafsu yang tersembunyi atau lain-lain
lagi yang boleh dihimpunkan dalam : “Melakukan amalan bukan kerana Allah.”
Ikhlas dengan makna
ini adalah buah dari tauhid yang sempurna iaitu mengesakan Allah taala dalam
ibadat. Kerana itulah riya’ (menunjuk-nunjuk) yang merupakan lawan kepada
ikhlas adalah perbuatan syirik. Syidad bin Aus berkata : “kami mengira riya’
adalah syirik kecil pada zaman Rasulullah saw.”
Rukun Bagi Amalan Yang Diterima
Setiap amal soleh
mempunyai dua rukun. Allah swt tidak menerima sesuatu amalan melainkan jika
memenuhi dua rukun tersebut iaitu :
pertama : ikhlas
kedua : bertepatan dengan sunnah dan syara’
Dengan rukun yang
pertama tercapailah kesahihan batin dan dengan yang kedua tercapailah kesahihan
lahir. Berkenaan dengan rukun yang pertama Rasulullah saw telah bersabda yang
bermaksud :
“Sesungguhnya
setiap amalan itu bergantung kepada niat.”
“Sesiapa yang
melakukan sesuatu amalan yang tidak ada kena mengena dengan agama kami, maka ia
adalah tertolak.”
Allah Taala telah
menghimpunkan dua rukun tersebut pada banyak tempat dalam al-Quran. Di antaranya firman Allah swt dalam
surah Luqman ayat 22 yang bermaksud :
“Sesiapa
yang menyerahkan dirinya kepada Allah dalam dua keadaan dia berbuat baik,
sesungguhnya dia telah berpegang pada ikatan yang teguh.”
Menyerah
diri kepada Allah adalah mengikhlaskan niat dan beramal kerana-Nya. Membuat
baik pula adalah mengikut sunnah Rasulullah saw. Fudhail bin ‘Iyadh berkata
tentang firman Allah taala (al-Mulk : 2) yang bermaksud :
“Supaya dia
menguji kamu, siapakah di antara kamu yang baik amalannya.”
“Amalan
yang paling baik ialah yang paling ikhlas dan yang paling benar.”Orang bertanya
kepada beliau: “Wahai Abu Ali, apakah yang dimaksudkan dengan yang paling
ikhlas dan benar itu?” Beliau menjawab : “Sesungguhnya sesuatu amalan itu, jika
ia ditunaikan secara ikhlas sahaja tetapi tidak menepati kebenaran, maka ia
tidak akan diterima. Begitu
juga jika ia menepati kebenaran tetapi jika tiada ikhlas, maka ia juga tidak
diterima. Amalan yang diterima ialah yang ikhlas dan menepati kebenaran. Ikhlas
adalah semata-mata kerana Allah dan kebenaran adalah mengikut sunnah.”
Kemudian Fudhail
membaca firman Allah Taala dalam surah al-Kahfi ayat 110 yang bermaksud :
“Sesiapa yang
mengharapkan pertemuan dengan tuhannya, maka ia hendaklah melakukan amalan yang
soleh dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.”
Dari perkara di
atas dapatlah kita ketahui bahawa niat yang ikhlas semata-mata tidak memadai
supaya amalan diterima selagimana tidak bertepatan dengan sunnah dan syara’.
Begitu juga amalan yang menepati syara’ tetapi tidak disertai dengan niat yang
ikhlas kepada Allah tidak akan diterima.
Tanda-tanda Ikhlas
Ikhlas mempunyai
banyak tanda dan alamatnya yang banyak. Ia terserlah di dalam kehidupan orang
yang ikhlas akhlaknya dan pandangannya kepada diri sendiri dan manusia. Di
antara tanda dan alamat tersebut ialah :
1. Beliau
takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan
agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau
meyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, jika
seseorang manusia itu memiliki kemasyhuran di seluruh pelusuk dunia sekalipun,
sedangkan niatnya bercampur-baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.
Inilah yang
menjadikan ramai di kalangan ulama’ salafussoleh takut kalau hati-hati mereka
ditimpa fitnah kemasyhuran, kemegahan dan sanjungan. Mereka memberi amaran
kepada murid-murid mereka tentang perkara tersebut. Ibrahim bin Adham berkata
:“Orang yang kasihkan kemasyhuran tidak berlaku adil terhadap Allah.”
Salim bin
Hanzalah berkata :
“Ketika kami berjalan
mengiringi Ubai bin Kaab, Umar melihat kepada beliau lantas memukulnya dengan
cemeti. Ubai berkata : ‘ Lihatlah wahai Amirul Mukminin, apakah yang telah kamu
lakukan?’ Umar menjawab : ‘ Ini adalah kehinaan kepada pengikut dan fitnah
kepada orang yang diikut.”
Inilah pandangan
tajam Saidina Umar yang berharga terhadap apa yang berlaku. Walaupun pada
mulanya pada zahir yang remeh, tetapi ia akan memberi kesan yang besar terhadap
para pengikut dan ketua yang diikuti.
Al Hassan berkata
:
“Pada suatu hari
Ibnu Mas’ud keluar dari rumahnya dan beliau diikuti oleh segolongan manusia.
Beliau berpaling kepada mereka lantas berkata : ‘Mengapa kamu semua mengikut
aku? Demi Allah jika sekiranya kamu mengetahui apa yang berlaku di dalam
rumahku, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu yang mengikutiku.”
Al-Hassan berkata
:
“Sesungguhnya
bunyi sepatu orang-orang yang mengelilingi seorang lelaki boleh menggoncangkan
hati orang-orang yang bodoh.” Pada suatu hari Al Hassan keluar lalu beliau
diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berkata : “Adakah kamu mempunyai hajat?
Jika tidak, apakah yang akan menimpa kepada hati mukmin?”
Ayyub As
Sakhaitani keluar bermusafir, lalu beliau dikelilingi oleh manusia yang ramai.
Beliau berkata :
“Kalau tidak
kerana aku mengetahui bahawa Allah swt mengetahui dalam hatiku bahawa aku benci
kepada perkara ini, nescaya aku takut kemurkaan Allah swt.”
Ibnu Mas’ud
berkata :
“Jadilah kamu
sumber ilmu, lampu petunjuk, penunggu setia rumah, pelita di malam hari,
hati-hati yang sentiasa baru, berpakaian buruk, kamu dikenal di kalangan ahli
langit dan tidak dikenali oleh ahli bumi.”
Al Fudhail bin
‘Iyadh berkata :
“Jika kamu boleh
membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak
dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji
oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah swt?”
Janganlah
difahami dari athar-athar di atas bahawa ia menyeru kepada bersembunyi dan
mengasingkan diri. Sesungguhnya athar-athar tersebut dari pemimpin-pemimpin
para du’at yang soleh dan mempunyai peninggalan yang baik dalam arena da’wah
kepada masyarakat.
Tetapi hendaklah
difahami secara keseluruhannya bahawa ia adalah kesedaran terhadap bahaya
syahwat diri yang tersembunyi dan berwaspada terhadap lubang dan jendela yang
mana syaitan dapat menyusup masuk melalui ke dalam hati manusia.
Kemasyhuran pada
zatnya bukanlah suatu yang tercela. Tidak ada di sana orang yang lebih masyhur
dari para Nabi dan Khulaf Ar Rasyidin. Tetapi jika kemasyhuran itu wujud tanpa
berusaha bersungguh-sungguh dan tamak untuk mendapatkannya, maka tidaklah
menjadi kesalahan walupun ada keburukannya. Itulah yang disebut oleh Imam Al
Ghazali :
“Ia menjadi
fitnah kepada orang-orang yang lemah, tidak kepada orang-orang yang kuat.”
2. Orang yang
ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah swt, lalai dalam
melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati dan dimasuki oleh sifat megah
dan taajub dengan diri sendiri. Bahkan beliau merasa takut kalau-kalau dosanya
tidak diampunkan oleh Allah atu kebaikannya tidak diterima. Setengah para
solehin menangis bersungguh-sungguh di dalam sakitnya. Lalu sebahagian daripada
orang yang menziarahinya berkata : Mengapa kamu menangis? Sedangkan kamu telah
berpuasa, bersembahyang malam, berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah,
mengajar dan berzikir? Beliau menjawab : Manalah aku tahu sama ada perkara itu
termasuk di dalam timbangan amalanku dan diterima di sisi Tuhanku? Sedangkan
Allah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 27 :
“Sesungguhnya
Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa.”
At Tirmizi
meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa :
“Aisyah,
isteri Nabi saw berkata : ‘ aku bertanya Rasulullah saw tentang ayat ini (al
Mukminin : 60) yang bermaksud :
“Dan orang-orang
yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut.”
Aisyah berkata :
‘Adakah mereka itu orang yang meminum arak dan mencuri? Rasulullah menjawab :
‘Tidak, wahai anak as Siddiq, tetapi mereka ialah orang-orang yang berpuasa,
bersembahyang dan bersedekah dalam keadaan mereka takut kalau-kalau amalan
mereka tidak diterima. Merekalah orang-orang yang berlumba-lumba menuju kepada
kebaikan.”
3. Beliau lebih
suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi
dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Di dalam jamaah beliau lebih suka
menjadi seperti tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi
dan tidak dapat dilihat mata, namun ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan
hidup.
Dari Umar Ibnu al
Khattab ra bahawa beliau pergi ke masjid Rasulullah pada suatu hari. Beliau
mendapati Mu’az bin Jabal duduk di sisi kubur Rasulullah saw dalam keadaan
menangis. Umar bertanya : “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” Mu’az
menjawab : “Aku menangis kerana telah mendengar Rasulullah saw bersabda :
‘Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali
Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi
orang-orang yang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang,
orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka, mereka tidak dipanggil
dan dikenali. Hati-hati adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah
berdebu yang gelap.”
4. Sama sahaja di
sisi beliau sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah
berkhidmat dengan da’wahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai oleh perasaan cinta
untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan
menjawat bahagian kepemimpinan. Bahkan mungkin beliau lebih mengutamakan untuk
menjadi tentera biasa kerana takut berlaku cuai dalam melaksanakan kewajipan
dan tugas kepimpinan. Dalam setiap perkara, beliau tidak berusaha untuk menjadi
ketua dan tidak memintanya. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas
tersebut, beliau memikulnya dan memohon pertolongan dari Allah swt dalam
melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini seraya bersabda yang
bermaksud :
“Beruntunglah
seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya di jalan Allah dalam keadaan
rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Sekiranya beliau brtugas sebagai pengawal,
beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau
berada di belakang.”
Semoga Allah
meredhai Khalid bin al Walid yang dilucutkan dari jawatan panglima tentera
sedangkan ketika itu beliau adalah panglima tentera yang sentiasa menang dalam
peperangan. Beliau lantas bekerja di bawah pimpinan Abu Ubaidah tanpa merasa
gelisah ataupun menyesal.
5. Tidak
menghiraukan keredhaan manusia jika disebaliknya adalah kemurkaan Allah swt.
Sesungguhnya manusia berbeza-beza dari sudut tabiat, kecenderungan, cara
berfikir dan matlamat mereka. Jadi percubaan untuk mendapat keredhaan mereka
adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai. Orang yang ikhlas tidak
menyusahkan dirinya dengan perkara ini.
Slogannya bersama Allah swt ialah :
Semoga kamu
merasai kemanisan,
sedangkan
kehidupan itu penuh kepahitan,
Semoga kamu
menjadi redha,
sedangkan manusia
marah,
Semoga ada orang
memakmurkan,
di antara aku dan
kamu,
sedangkan di
antara aku dan dunia ada kehancuran,
Jika benarlah
kamu mempunyai perasaan kasih,
maka semuanya
menjadi mudah,
dan setiap
sesuatu yang berada di atas tanah
adalah tanah…
6. Hendaklah
cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, semuanya kerana Allah
swt dan agamanya, bukan kerana diri dan manfaatnya. Beliau tidak menjadi orang
seperti orag-orang yang mengejar manfaat yng terdiri dari golongan munafiq yang
dicela Allah di dalam kitabNya ( surah at Taubah : 58 ) yang bermaksud :
“Dan di antara
mereka ada yang mencelamu tentng pembahagian zakat. Jika mereka diberi
sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi
sebahagian daripadaya dengan serta merta mereka menjadi marah.”
Kadang-kadang
saudara dapat melihat segelintir manusia yang bekerja di dalam medan da’wah,
apabila ditegur oleh salah seorang saudaranya dengan perkataan yang menyakitkan
hatinya, atau perasaannya dilukakan dengan perbuatan yang menyinggung jiwanya
serta orang yang rapat dengannya atau kaum kerabatnya, beliau cepat marah dan
melenting lalu meninggalkan amal dan harakah serta mengasingkan diri dari medan
jihad.
Ikhlas kepada
matlamat menuntutnya agar terus berada dalam da’wahnya, tetap kekal arah
tujuannya walaupun dituduh salah, cuai dan melampau oleh orang lain. Ini adalah
kerana beliau beramal kerana Allah swt, bukan kerana dirinya, keluarga atau
orang tertentu di kalangan manusia.
Da’wah Allah
bukan dimonopoli atau menjadi milik seseorang. Ia adalah da’wah kepada semua
manusia. Mukmin tidak boleh meninggalkan da’wah kerana pendirian dan
perbuatan-perbuatan tadi.
7. Beliau tidak
bersifat malas, lembap atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang
lambat dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam
menghadapi manusia yang bermacam ragam. Beliau tidak bekerja untuk berjaya atau
mencapai kemenangan semata-mata, bahkan semata-mata kerana mencari keredhaan
Allah swt dan mematuhi perintahNya.
Sesungguhnya
Allah tidak bertanya manusia pada hari kiamat : “Mengapa kamu tidak mencapai kemenangan?”
tetapi Dia akan bertanya : “ Mengapa kamu tidak berjuang?” Dia tidak akan
bertanya mengapa mereka tidak berjaya, tetapi bertanya kenapa mereka tidak
bekerja.
8. Gembira dengan
setiap kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang
bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi
peluang kepada setiap yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba
menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita
melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila melihat ada orang yang lebih baik
darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau
akan mengutamakan orang itu dari dirinya dalam keadaan taat dan bahagia kerana
beliau mengundur setapak ke belakang.
Keperluan Ikhlas Dalam Memikul
Da’wah
Sesungguhnya
bekerja untuk kedaulatan Islam dan mengembalikannya untuk memimpin kehidupan
dengan aqidahnya, syariat, akhlak dan tamadunnya merupakan ibadat dan amalan
yang mendekatkan diri dengan Allah swt. Mengikhlaskan niat semata-mata kerana
Allah swt dalam ibadat adalah satu perkara asasi untuk amalan diterima dan
berjaya. Niat yang bercampur-baur merosakkan amalan, mencemarkan jiwa,
melemahkan saf dan menghilangkan pahala.
Kerana rahsia
inilah Imam al Bukhari memulakan kitabnya ‘ Al Jami’ As Sahih’ dengan hadith
yang dianggap oleh sesetengah ulama’ sebagai satu perempat Islam atau satu
pertiga darinya yang bermaksud :
“Sesungguhnya
setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya.
Sesiapa yang hijrahnya itu kerana Allah dan rasulnya, maka hijrahnya itu kepada
Allah dan rasulnnya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan didapatinya
atau kerana perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah bergantung
kepada tujuan dia berhijrah.”
Diriwayatkan
bahawa sebab datangnya hadith ini adalah kerana seorang lelaki yang berhijrah
ke Madinah kerana seorang perempuan yang dicintainya yang bernama Ummu Qais.
Maka beliau digelar sebagai ‘ penghijrah Ummu Qais’.
Akh Muslim
mestilah memeriksa sudut-sudut hatinya terhadap hakikat niatnya dan faktor
pendorongnya. Jika ia mempunyai ruang untuk dunia dan syaitan, beliau berusaha
untuk membersihkan hatinya dari perkara tadi dan mentuluskan niatnya kepada
Allah swt. Beliau hendaklah memberi peringatan kepada dirinya dalam keadaan
membebaskan diri dari menjadi abdi kepada yang lain sebagaimana ucapan isteri
Imran (surah Ali Imran : 35) yang bermaksud :
“Wahai tuhanku,
sesungguhnya aku telah nazarkan anak yang ada dalam kandunganku untuk
memperhambakan diri kepadaMu. Kerana itu terimalah nazar itu daripadaku.
Sesungguhnya Engkau Tuhan yang maha mendengar lagi maha mengetahui.”
Kalimah
‘muharraran’ (memperhambakan) yang disebut oleh ibu Maryam ini menunjukkan
bahawa sudah menjadi sunnah Allah, Allah tidak menerima mana-mana amalan
melainkan ianya ikhlas semata-mata keranaNya, tidak bercampur dengan yang lain
dan bebas dari setiap ubudiyh kepada yang lain.
Sesungguhnya
kebenaran tidak akan memimpin, kebaikan tidak akan tersebar, keadilan tidak
akan tertegak, panji-panji kemuliaan akan jatuh dengan wujudnya orang-orang
yang menggadaikan prinsip semata-mata mencari keuntungan duniawi dan
orang-orang yang bersifay riya’ yang hanya mahu diri mereka dilihat orang,
kata-kata mereka didengar, mereka menjadi buah mulut masyarakat dan boleh
mengarahkan orang lain dengan jari telunjuk. Kebenaran, kebaikan dan kemuliaan
hanya akan tegak dengan orang-orang yang ikhlas, yang berpegang teguh dengan
prinsip, yang boleh mempengaruhi orang lain, bukan dipengaruhi. Mereka adalah
orang-orang yang berkorban bukannya mengambil manfaat, memberi bukannya
mengambil.
Penyakit-penyakit hati yang bercampu-baur dengan ikhlas dan merosakkan niat lebih bahaya dari penyakit tubuh badan. Ia boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan orang dari jalan da’wah yang betul. Ia memang wujud dalam diri kita, tetapi kita boleh membendungnya dengan iman dan taqwa. Perkara ini memerlukan kesedaran dari kita, sentiasa muhasabah niat dan membersihkannya dari bercampur dengan penyakit-penyakit hati.