Tuesday, September 20, 2011

TAQWA



Firman Allah SWT;
واتقوا الله واعلموا أن الله مع المتقين
Maksudnya;
Dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa ( Al-Baqarah: 194)

MUQADDIMAH

Taqwa adalah jalan untuk mencapai matlamat kerohanian di dalam Tarbiyah Ruhiyyah. Ia penting demi keberkesanan petugas dakwah menjalankan kerjanya untuk membimbing manusia ke jalan Allah. Bahkan ia penting untuk memastikan perjuangan Islam akan dibantu oleh Allah SWT.

PENGERTIAN TAQWA

Perkataan taqwa berasal daripada kata nama 'ittiqa' dengan erti menjadikan dirinya terselamat daripada apa yang ditakuti atau daripada kata nama 'waqayah' dengan erti menjadikan sesuatu itu sebagai perisai penyelamat daripada sesuatu. Dari sudut istilah (syarak) taqwa ialah usaha menjaga diri daripada sesuatu yang merosakkan atau yang membawa kepada celaan, kemurkaan dan seksaan. Ini termasuk faktor yang membawa kepada perkara terbabit. Pengertian taqwa boleh disimpulkan; sifat yang tetap pada diri seseorang, yang terbentuk daripada perasaan takut kepada Allah, perasaan pengabdian kepada-Nya, berasa penuh tanggungjawab terhadap-Nya atas segala gerak laku perbuatan yang lahir mahupun batin.

KEPENTINGAN TAQWA DI DALAM PERJUANGAN

Kepentingan aspek ruhi dan maknawi ini telah menghadirkan Saidina Umar al-Khattab yang berpesan kepada Saad bin Abi Waqqas, komander tentera Islam yang meruntuhkan kerajaan Parsi. “Amma ba’du,sesungguhnya aku memerintahkanmu untuk bertaqwa kepada Allah atas segalanya. Sebab, taqwa kepada Allah adalah persiapan paling sempurna menghadapi musuh dan tipu daya dalam pertempuran. Aku perintahkan kamu dan orang yang menyertaimu untuk selalu menjaga diri dari perbuatan maksiat yang berasal dari diri kalian sendiri daripada maksiat musuh-mush kalian. Sebab, dosa tentera kita lebih aku takutkan daripada kekuatan musuh.Ketahuilah bahawasanya kemenangan kaum muslimin disebabkan perbuatan maksiat musuh-musuh mereka terhadap terhadap Allah . Kalau bukan demikian, kita tidak punya kekuatan apa-apa kerana jumlah kita tidak sebanyak mereka dan persiapan tempur tidak selengkap mereka. Jika kita berbuat maksiat, maka mereka memiliki keunggulan kekuatan (kerana jumlah dan persenjataan yang lebih canggih). Kita bisa menang kerana keutamaan kita (meninggalkan maksiat)”.

PENUTUP

Dunia selalu tercengang melihat ’keajaiban’ tentera Islam yang sedikit mampu mengalahkan ratusan ribu musuh-musuh Allah . Kesimpulannya, syarat pertama untuk menang adalah taqwa kepada Allah dan menjaga diri dari maksiat.

credit to : tarbiahpaskedah.blogspot.com

Tuesday, September 13, 2011

Najib Perlu Jamin Kesucian PSC, Demi Reformasi Pilihan Raya



KUALA LUMPUR 13 SEPT : Pakatan Rakyat hari ini bersetuju untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung pembaharuan pilihan raya hanya jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak benar-benar serius mahu mereformasikan sistem pilihan raya Malaysia.

Justeru, Najib perlu memenuhi lima syarat yang dibuat Pakatan Rakyat.

Antara lima syarat itu adalah melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0, menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum secara muafakat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), PSC diberi ruang masa yang selesa untuk melaksanakan reformasi pilihanraya, memasukkan isu pemberian kerakyatan  warga asing yang menjadi kontroversi sebagai terma rujukan dan menunaikan segala cadangan  PSC demi reformasi pilihanraya sebelum PRU 13 berlangsung.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, lima syarat tersebut dibuat bagi menjamin untuk kerjasama penuh Najib dalam memastikan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti berlangsung secara bersih dan adil.

Malah katanya, Najib perlu memberikan jawapan terhadap lima syarat itu sebelum sesi Parlimen yang akan bermula 3 Oktober ini.

"Kita bersedia menawarkan khidmat kami dalam PSC untuk kebaikan dan tunjukkan jiwa besar kita untuk rakyat dan negara kita. Kita bersedia menawarkan khidmat bakti untuk PSC tapi kita mahu memastikan jaminan setia oleh Najib sebelum 3 Oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pakatan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pagi ini, bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, Najib tidak perlu tergopoh-gapah untuk membubarkan parlimen sebelum membuat pembaharuan sistem pilihan raya.

Menurut Salahuddin, ini kerana Pakatan Rakyat mahu terlibat sama menentukan tarikh pilihan raya umum bagi membolehkan cadangan pembentukan jawatankuasa khas parlimen (PSC) berhubung pembaharuan pilihan raya mempunyai masa mencukupi menjalankan tugas seperti yang dipersetujui oleh Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat di United Kingdom pada pilihan raya mereka tahun lalu.

Oleh itu, Pakatan Rakyat akan menghantar surat kepada Najib dalam waktu terdekat agar jaminan tersebut menjadi asas kepada jawatankuasa berkenaan.

"Ini boleh jadi perkara yang boleh cipta sejarah dalam negara kita, apa salahnya jika kita boleh duduk bersama untuk kebaikan semua..kita buat dalam satu kerjasama satu kesepakatan untuk menetapkan tarikh pilihan raya," kata beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, pihaknya meminta agar Parlimen tidak dibubar dalam masa 6 bulan mengikut skop tempoh masa PSC bagi menjamin kelangsungan tugas jawatankuasa terbabit.

"Cadangan dan laporan perlu dibentang di Parlimen pada sesi parlimen depan. Kita juga mahu jaminan Parlimen tidak dibubarkan sebelum sidang parlimen tahun depan, kerana jika parlimen dibubarkan dalam tempoh 6 bulan ini bermakna PSC akan dibubar secara automatik dan cadangan mereka akan tidak sah. Ia hanya bakal menjadi sandiwara politik BN," kata beliau.

Tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, pihaknya juga mahu PSC dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan secara terus segala maklumat berhubung jawatankuasa terbabit dan bukan hanya melalui kenyataan media massa sahaja.

"Setakat ini kami dimaklumkan hanya menerusi berita sahaja. Semuanya tidak menerusi hubungan langsung. Kami harap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz boleh berhubung terus dengan kami," tambah Izzah juga Naib Presiden PKR.

18 Kawasan Catat Udara Baik, 34 Sederhana



KUALA LUMPUR 13 SEPT : Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga pukul 11 pagi ini menunjukkan 18 kawasan mencatatkan kualiti udara baik dan 34 lagi sederhana.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga melaporkan tidak ada kawasan merekodkan IPU tidak sihat.

Menurut laporan JAS menerusi laman webnya lima kawasan mencatatkan IPU paling rendah iaitu empat di Sarawak - Limbang (20), ILP Miri (21), Bintulu (22), dan Sarikei (23), serta Keningau di Sabah dengan bacaan IPU 22.

JAS berkata keadaan berjerebu dijangka berterusan selama beberapa hari lagi dan orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka selain bekerjasama memadamkan kebakaran kecil. 

MES: Selangor Telah Belanja RM465 Juta


SHAH ALAM, 13 Sept: Sejumlah RM465 juta telah dibelanjakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sejak tahun 2008 sehingga April 2011.

Jumlah ini meliputi fasa pertama hingga ketiga yang telah dilancarkan oleh kerajaan negeri pada Program 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Shah Alam pada 20 Jun 2008, kira-kira tiga bulan selepas mengambil alih pemerintahan negeri itu.


Antara program fasa pertama itu termasuk Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mesra Emas, Tabung Pendidikan Anak-anak Pelajar Ladang, Bekalan Air Percuma Bagi 20 meter padu Pertama, Program Meningkatkan Hasil Batuan Dan Mineral serta Program Khidmat Krisis Sehenti (OSCC).

Bagi fasa kedua pula meliputi Cuti Bersalin 90 hari, Cuti 14 hari untuk suami yang isterinya bersalin dan Cuti Kematian Suami 30 hari.

Fasa ketiga pula merangkumi Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR), Skim Mikrokredit Selangor (SkimSEL), Skim Kesihatan Wanita (MammoSEL) dan juga Pusat Dialisis Rakyat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar) menjelaskan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri di dalam program tersebut adalah satu usaha untuk mengembalikan hak rakyat kepada rakyat.

“Kerajaan negeri melakukan sesuatu yang baik untuk rakyatnya dan kita lihat sebanyak RM465 juta telah diperuntukan sejak dari mula-mula Program MES ini dilancarkan sehingga April 2011 dan ia melibatkan seramai 4,772,501 orang rakyat negeri Selangor.

“Jika sebelum ini banyak tentangan mahupun ketidak yakinan timbul apabila program tersebut ingin dilancarkan tetapi satu yang luar biasa berlaku apabila rakyat sudah dapat melihat secara jelas kejayaan program tersebut, "katanya dalam satu temubual khas dengan Harakahdaily.

RM382 juta untuk 20 meter padu air percuma

Menurut Faekah, peruntukan paling besar dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat adalah pemberian bekalan air percuma 20 meter padu

Katanya, hampir RM382 juta kos yang ditanggung kerajaankerajaan negeri untuk tujuan itu merangkumi 4.77 juta rakyat selangor. 

“Walaupun dua puluh meter padu ini kita lihat amat kecil tetapi kepada rakyat yang berpendapatan rendah merasakan ia adalah satu jumlah yang besar dan setidak-tidaknya ia dapat mengurangkan beban kepada mereka.

“Kita mahukan rakyat merasai kekayaan negeri ini dan dengan cara ini sahajalah kenikmatan tersebut dapat dirasai oleh rakyat,” sambung beliau lagi.

Dalam pada masa yang sama beliau tidak menolak masih terdapat rasa tidak puas hati berhubung isu pemberian air percuma itu, terutamanya tuduhan mengatakan kerajaan negeri tidak membayar bil kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Dalam penjelasannya kepada Harakahdaily, Faekah berkata Isu tidak membayar bil sehingga menyebabkan berlakunya pemotongan bekalan air dan menjadi tomahan kepada pihak tertentu adalah tidak benar sama sekali, dan sebenarnya setiap bil mahupun bayaran dibayar secara terus kepada Syabas tanpa ada sebarang tunggakan

“Yang berlakunya pemotongan bekalan air itu adalah melibatkan penggunaan meter secara pukal di kediaman seperti flat mahupun pangsapuri. Pihak kerajaan negeri telah mengambil langkah terbaik bagi mengelakkan perkara tersebut berulang dengan memberi kupon air percuma kepada penduduk di kediaman tersebut setiap bulan.

“Kita mahukan yang terbaik untuk rakyat dan setiap permasalahan yang berlaku perlu diselesaikan agar rakyat terus dapat menikmati apa yang telah disediakan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.," katanya.

Tunai 5 Tuntutan atau Bersih 3.0


KUALA LUMPUR, 13 Sept: Kerajaan BN diingatkan agar melaksanakan tuntutan 5 perkara yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat jika tidak mahu himpunan aman Bersih 3.0 yang akan mengambil tempatnya. 

Tuntutan lima perkara itu bukan sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan jika Kerajaan BN benar-benar ikhlas mahu melakukan reformasikan pilihanraya di tanah air, melainkan jika pihak kerajaan hanya sekadar bersandiwara. 

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, sekiranya Kerajaan BN enggan melaksanakan 5 tuntutan itu sebelum pembubaran Parlimen, kerajaan ternyata hanya sekadar bermain-main dengan kenyataan-kenyataannya ke arah itu. 


Menurut beliau, oleh itu, Pakatan Rakyat tidak akan teragak-agak untuk mengadakan himpunan Bersih 3.0 bagi mendesak kerajaan melaksanakan tuntutan itu bagi membolehkan pilihanraya di negara ini diadakan dengan bersih dan adil. 

Katanya, Kerajaan BN tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak melaksanakan kesemua tuntutan itu kerana pihak kerajaan sendiri masih mempunyai masa yang panjang untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. 

"Untuk mengadakan PRU Ke-13, tempohnya sehingga 13 Mac 2013. Jadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu tergopoh-gapah untuk membubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU Ke-13 diadakan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, 5 tuntutan Pakatan Rakyat berhubung reformasi pilihanraya itu, pertamanya mendesak Kerajaan BN pimpinan Najib agar melaksanakan 8 tuntutan Bersih.

Kedua berupa desakan agar Kerajaan BN menetapkan tarikh pilihanraya dengan persetujuan atau muafakat bersama dengan Pakatan Rakyat seperti yang dilakukan oleh parti Demokratik Liberal dan Konservetif di United Kingdom (UK).

Ketiga, Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen yang akan ditubuhkan oleh Kerajaan mestilah diberikan ruang yang selesa ke arah reformasi pilihanraya di negara ini. 

Keempat, agenda isu kerakyatan terhadap warganegara asing yang dilakukan oleh Kerajaan BN mestilah dihentikan dengan desakan terhadap Kerajaan BN agar menyediakan satu terma rujukan mengenainya. 

Manakala tuntutan kelima berupa desakan Pakatan Rakyat terhadap Kerajaan BN agar menunaikan segala cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen bagi melakukan reformasi pilihanraya di negara ini.

Sidang media tersebut diadakan bersama dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang diwakili oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bagi pihak PKR; Ahli Parlimen Rasah, Antony Loke (DAP). 

Manakala bagi pihak PAS, selain beliau, turut diwakili Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusuf (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Mohd Firdaus Jaafar (Jerai).

Sementara itu, kesemua ahli-ahli Parlimen yang hadir pada sidang media itu turut bersetuju dengan kenyataan beliau dan masing-masing berharap agar suara rakyat tidak diketepikan oleh Kerajaan BN, bagi membolehkan pilihanraya di negara ini diadakan dengan telus, bersih dan adil.  

Pada sidang media itu, mereka juga sebulat suara menegaskan, Pakatan Rakyat bersedia memberikan kerjasama atau khidmat kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang akan ditubuhkan oleh kerajaan sempena persidangan Parlimen mulai 3 Oktober ini, sekiranya Najib boleh berjanji untuk melaksanakan kesemua tuntutan itu sebelum pembubaran Parlimen.

Dalam hubungan ini, mereka berharap agar Najib tidak bersandiwara atau bermain-main dengan kenyataannya untuk melakukan reformasi pilihanraya dengan kesediaannya menubuhkan jawatankuasa tersebut, dengan melaksanakan kesemua cadangan jawatankuasa itu ke arah itu.